Monday, December 28, 2009

Favoritta~

Bismillahirrahmanirrahim.

Semenjak akhir-akhir ni, sibuk dalam kadar yang melampau. Melampau batas hinggakan nak mengunyah Kit Kat pun tiada masa. Jadi nampaknya tagline Kit Kat; Berehat Sebentar Bersama Kit Kat sudah tidak lagi relevan. Haha (ada kaitan ke?)

Tapi ada masa untuk ber-blog kerana kerja semua menghadap komputer. Jadi, bila senggang sedikit, mula menaip. Memang mencurah-curah idea waktu sesak macam ni. Kalau tengah main golf, tak muncul-muncul idea pula. Hmm.

Oh ya, jika perasan, blog ni selalu bertukar-tukar layout. Bukan apa, sebenarnya mencari cara untuk menyenangkan mata sendiri. Alhamdulillah, thanks to Milimilo, (yang mana saya secara tidak sengaja terjumpa blognya melalui penjelajahan internet yang masyuk, walhal selama ni sekampus) saya dapat lebarkan sayap blog ni. Dulu pernah inspect element dari blog Made from Vinegar, tapi rosak html dibuatnya. Almaklum orang berlagak pandai komputer.

Cuti Mid-Sem yang lepas, saya sempat berjalan-jalan ke Time Square dan Plaza Low Yat bersama-sama Muiz, Faisal dan juga Ding (Din). Banyak juga aktiviti yang
kami lakukan selain melontarkan beberapa kritikan sosial yang tidak direkodkan kepada masyarakat dalam keadaan yang beradab, menikmati kelazatan New York Chicken 1901, dan oh ya, tidak lupa bersiar-siar di Wangsa Walk selama 10 minit, dan beredar kerana kebosanan.

Dan bersiar-siar sahaja sudah cukup buat saya menjadi rambang mata; kepada gadget-gadget dan barangan-barangan yang sudah sekian lama ingin dimiliki. Lalu, dinyatakan di sini beberapa senarai barang yang sememangnya ingin dimiliki semenjak Kecik (kecil di sini menafikan spesifikasi, kerana apabila sudah dewasa baru tahu akan maklumat-maklumat tertentu).

1. Laptop HP Pavillion @ Sony Vaio @ Apple Macbook



Compaq Presario b1200, tak mahu kamu Y_Y

2. DSLR Sony Alpha @ Nikon
antara pengaruh dengan DSLR setelah menonton sebuah rancangan gadget di Astro Animax dan juga AXN. Dan kali pertama jatuh hati pada SLR (bukan DSLR) adalah sewaktu menonton The Omen. Tak silap watak wartawan Keith Jennings lakonan David Thewlis; menangkap gambar menggunakan SLR, dan terdengar bunyi 'klik'. Entah, jatuh hati pada waktu itu juga. Cuma sewaktu itu tidak berkesempatan untuk mengetahui dengan lebih lanjut kerana masih bersekolah di asrama.


3. TLR & Lomo Cam
antara pengaruh TLR sebenarnya banyak. dan jika tidak silap, pertama kali tertarik dengan lomgrafi adalah ketika Berita Mingguan mengeluarkan satu artikel tentang lomo. Banyak juga cerita-cerita kesukaan yang menggunakan lomo. Dan Kadoya Tsukasa pun guna TLR juga apa?



Tapi prefer lagi TLR :)

Ini antara senarai barang dalam perhatian. Dahulu, minta sahaja pada pakcik, insyaAllah, tidak seminggu, sebulan selepas itu akan dapat. Tapi rasanya kena mula hidup berdikari kan?

Dan, saya discover forgotten hobbies, which are;

1. Kumpul Figura
First figura adalah Robocop dan juga Masked Rider Black. Last figura dibeli adalah Gundam! Tapi semuanya sudah hancur. Dua tahun yang lepas ada berhajat hendak membeli set Star Wars dan Transformer, tapi rasanya, for the mean time, let's focus on the important things first. Shadowmoon, Mark III, Bumblebee, wait for me! (itupun kalau ada lagi >,< )

Dan T600 ini hanya ada edisi terhad. Dah habis kot T__T

kredit to:eightyfourcube

2. Melukis
Wahh. ingat sewaktu darjah 2, cikgu Ummi risau akan saya kerana rakan-rakan yang lain mahu menjadi doktor, peguam dan sebagainya, tetapi saya memilih untuk menjadi pelukis komik. Salah ke? T_T

dan saya suka melukis secara detail, just like this bro.

Tapi tak berani nak komited pada bidang ini sepenuhnya.

3. Collecting Fancy things
Saya tidak pasti apa definisi Fancy things pada anda, tapi pada saya, fancy things adalah benda-benda yang mempunyai warna menonjol serta berada dalam keunikannya yang tersendiri.

4. Photograhy-ing
Jangan pelik jika saya agak melekat dengan kamera. Memang itu hobi semenjak kecil, bermain dengan kamera. Zaman klimaks sewaktu tingkatan 4-5, meskipun cuma menggunakan kamera sidang redaksi yang agak carok itu! Dan tidak lupa juga berlagak model ya. Pernah dilamar siapa entah untuk menjadi model, tapi maaflah. Waktu itu SPM! dan kini, menjadi model? mungkin untuk iklan ubat kurus boleh kot haha.

Dan apa yang paling menyeronokkan, tatkala kita punya minat yang mendalam tentang sesuatu, Allah hadirkan insan-insan tertentu yang membolehkan kita belajar secara informal dari mereka; Kak Fynn Jamal, Nabil 84cube, Sue Anna Joe, Abg Epah, Kak Dyll, Amirah Shahrin dll. Saya biasanya belajar secara senyap, tapi bukan copycat. Cuma mengambil aura mereka :)
Percayalah. Once you believe, there's no regret.


Nampaknya kena mula belajar menabung. Cita-cita banyak tapi sen tiada, tiada gunanya.


Dan ada orang bertanya, "kenapa ayat kau rhymes semua sama?"

Saya tak jawab, tapi dalam hati; "dulu kena marah dengan cikgu Zaihasra dan Cikgu Hayati Osman sebab jadi perosak bahasa.."

Wallahua'lam.
p.s: blog tempat aku membebel~

Saturday, December 26, 2009

Perkahwinan

Bismillahirrahmanirrahim.


Perkahwinan? Rasanya ini entri pertama yang saya tulis untuk fokus sepenuhnya tentang perkahwinan. Entri-entri sebelum ini mungkin menyentuh tentang perkahwinan secara tidak langsung.

Syed, enta bila nak kahwin?

PERKAHWINAN? Seumpama angin lalu di tepi telinga saja huh. fiu fiu~

Sebenarnya terdetik di hati sendiri menulis tentang perkahwinan ini kerana pertama; ahli-ahli jamaah sebahagiannya rancak berbicara tentang perkahwinan akhir-akhir ini, kedua; ahli-ahli bilik pun rancak berbicara tentang perkara ini, ketiga; banyak program serta galakan secara tidak langsung terhadap pelajar untuk berkahwin awal pada masakini. Dan keempat; sudah empat orang mengatakan saya akan berkahwin awal. Bahkan abang Naim dan Kak Adibah pun sudah mendoakan agar saya bertemu jodoh awal. dan tak kurang juga yang bertanya soalan-soalan nakal.

Saya bukanlah hendak melahirkan buku "...Dengan Mas Kahwin" (sambungan "Aku Terima Nikahnya") dengan melontarkan pandangan secara langsung di dalam blog ini. Tidak. Cuma ingin berkongsi pendapat dan pandangan.

Perkahwinan itu satu perkara serius yang harus ditimbang dan difikir secara teliti dan halus. Untuk berkahwin dalam keadaan harta cuma Akal dan Kemaluan, itu satu penghinaan dan pengzaliman kepada institusi perkahwinan itu sendiri. Untuk berkahwin, adalah bererti untuk tidak pandang ke belakang. Untuk berkahwin, adalah untuk tidak rasa menyesal. Untuk berkahwin, adalah untuk sehidup semati.

Perkahwinan tanpa persediaan yang kukuh; dari segi persediaan diri, emosi, rohani, jasmani dan juga harta, seharusnya dielakkan. Bagi saya, perkahwinan adalah satu perkara indah, pada kali pertamanya. Indahnya tidak akan sama meskipun bernikah dengan isteri kedua, ketiga mahupun keempat. Indah itu tidak akan mampu diulang. Indah itu tidak akan mampu dikecap jika kita tidak menghargainya.

Bagaimana mahu menghargai keindahan perkahwinan?

Pertama; harus ada kefahaman yang utuh tentang apa itu perkahwinan dan keluarga.
Selain dari mempunyai kefahaman agama yang mendalam, perlu tahu selok belok kehidupan berkeluarga. Cukup tidak gemar dengan sikap sesetengah orang yang hanya bertawakkal dengan dirinya seadanya tanpa usaha.

Kedua; perlukan masa yang sesuai.
kata abang Hilmi Ramli, hendak berkahwin, sebaik-baiknya tahun akhir pengajian di kampus. bagi saya pula, adalah lebih baik untuk memenuhi keperluan untuk berkeluarga terlebih dahulu. jodoh tidak ke mana, dunia belum kiamat, mati pun tidak tahu bila. Namun, harus bersedia dengan sebarang kemungkinan. Ambil iktibar kisah perkahwinan satu pasangan yang bertahan selama 3 jam sahaja setelah si suami meninggal sejurus selepas pernikahan.

Ketiga; perlu ada harta.
Kezaliman utama dalam perkahwinan bagi saya adalah apabila kita mengutamakan nafsu dari kebajikan. Saya bukanlah berfahaman all-socialistic, tapi harus relevan dan rasional dalam berfikir. Jika tewas dengan nafsu (bagi mereka yang beralasan "khuatir terjebak dengan maksiat") sebelum berjuang, bukan Mukmin namanya. Harus menyiapkan secukup-cukupnya keperluan untuk isteri dan insyaAllah anak-anak. lebih kasihan lagi, jika berkahwin sambil belajar (jangan masukkan golongan pelajar luar negara atau kes-kes istimewa) dan tidak punya perancangan yang betul. Akhirnya membawa kemudaharatan kepada perkahwinan juga.

Keempat; perlu tabah.
Berkahwin ini perlukan ketabahan dan kematangan. Susah jika hidup kita sentiasa ingin betul, dan melenting bila salah. Andai diri itu rasanya gemar berputus asa, dakilah gunung danau toba untuk bertapa dengan tabah.

dan ada banyak lagi saya kira.

Hendak yang terbaik, perlulah bersama-sama berusaha ke arah kebaikan.

Acapkali kita lihat mutakhir ini, timbul pelbagai isu-isu yang melibatkan kebobrokan institusi perkahwinan. Agak sedih dan menyayat hati apabila melihat perkahwinan yang terbina selama ini hancur berkecai hanya kerana sebab musabab yang sepatutnya tidak berlaku. Saya suka untuk mengambil kata-kata Ustaz Hasrizal dalam statusnya di Facebook;

"Setelah isteri berkali2 kembung perut menampung zuriatmu, terkoyak rabak farajnya semasa mengeluarkan zuriatmu, 2 tahun sabar berjaga mlm membiarkan anak menyusu, adakalanya menggigit luka bahagian sensitif itu, berkahwin isteri kedua dgn anak dara semata-mata krn memenuhi kehendakmu, adlh satu cara utk berkata bhw kau adlh isteri yg sudah tua, comot n expired. Tiadakah rahmah dlm diri setelah mawaddah menjadi sampah?"

Ini merupakan tempelak kepada permasalahan poligami nafsu. Bagi saya tiada masalah untuk berpoligami, tapi biar berkepentingan. Jika atas dasar kepuasan diri atau keseronokan, maka jangan. Cukuplah dengan satu itu, dan setia seadanya. Jika kita setia, insyaAllah Dia akan setiakan isteri. Dan si isteri juga janganlah curang :)

Hadiah perkahwinan

Setiap perkahwinan adalah satu lambang cinta yang bersatu. Dan setiap pasangan harus bersedia untuk menzahirkan cinta itu kepada satu (atau lebih) jasad yang tidak diketahui boleh lahir dari cinta itu, dan jasad itu terlalu kecil, hinggakan kita mampu merasakan degupan jantungnya di atas telapak tangan. Sebuah hadiah yang rapuh, tapi cukup utuh tempaannya. Sebuah hadiah yang seharusnya sanggup dilindungi dengan sepenuh jiwa; tidak mahu ia tercalar, terjatuh, tercedera, terluka, hatta tidak mahu ia bermimpi buruk! Kerana itu, cinta sepasang suami isteri.

Namun, jika rasa untuk bangun malam dan berjaga untuk menjaga anak itu dirasakan beban, maka renungkan kembali epistimologi perkahwinan.

Bersediakah untuk berkahwin?

Renungkan kembali sedalam-dalamnya, apa tujuan dan erti perkahwinan. Yang perlu ditatap setiap hari selepas bangun dari tidur itu, si isteri kamulah. Yang perlu dilihat setiap hari dalam rumah, isteri kamulah. Yang perlu kamu ingat wajahnya tatkala terlihat wanita lain yang jauh lebih sempurna dari isteri kamu, tetap isteri kamu jugalah. Perlu thabat dan tetap dalam menetapkan siapakah wanita paling cantik di dalam dunia mengalahkan semua Ratu Cantik Dunia, yang akan menyuap makan ke mulut kamu ketika tua, yang akan menggenggam tangan kamu ketika berjalan, yang akan lena di bahu kamu ketika nanti, agar kelak kamu tidak akan berpaling untuk melihat wanita cantik yang lalu di sisi kamu sedangkan isteri kamu di sebelah.

Pastikan tujuan perkahwinan itu jelas. Jika rasa itu perkara yang paling betul, lakukanlah. Jika tidak, bersabar. Tinta Luh Mahfuuz itu tak bisa terpadam dengan noda manusia.

Dan, jangan lakukan sesuatu kerana anda layak, tetapi lakukan sesuatu kerana anda rasakan bahawa itu adalah perkara paling betul untuk dilakukan. Dan jangan lupa meminta kepada Allah S.W.T petunjuk.


Dahulu saya merasakan itu adalah perkara paling betul, namun it seems that i was wrong.

Wallahua'lam.
p.s: malas kahwin. duit tu nak beli kereta Mercedes. haha :))

*kredit gambar kepada Senior kepada rakan-rakan Karisma. Maaf, saya ada habit simpan gambar-gambar yang cantik! maaf sangat-sangat jika ini dikira right violation. jika ya, khabarkan ya!

Wednesday, December 23, 2009

Cinta Terakhir

Bismillahirrahmanirrahim.

Semenjak akhir-akhir ini, aku tertarik pada satu lagu ni; Cinta Terakhir. Asalnya si Farhana mengomel mengenai drama Aliff Firdaus yang lebih kurang seperti Nur Kasih dan menjadikan lagu ini sebagai tema. Lalu aku pun cari di laman maya.

Dan, sungguh, lagu ini menyentuh hati aku, tapi bukan kerana sesiapa. Bukan untuk sesiapa. Tidak.

Cinta Terakhir-Aiman


Kau Cinta pertamaku
Engkau cinta terakhirku
Tiada apa yang bisa menafikan kasih kita…

Kau ayu dimataku
Satu antara seribu
Tiada tara didunia…

Mungkin kan terputus di tengah jalan
Mungkin kan terlerai tanpa ikatan
Usah ragu dengan takdir…

Mungkin kitakan berbeza haluan
Berakhirnya cerita percintaan
Segalanya ditentukan Tuhan….

Lagu/lirik: Hafiz Hamidun


Link download 4shared di sini.

Wallahua'lam.
p.s; akhir-akhir ini senang hujan.

Sunday, December 20, 2009

Hijrah 1431h

Bismillahirrahmanirrahim.


Rasanya belum terlambat lagi untuk mengucapkan selamat menyambut MAAL HIJRAH 1431h buat seluruh ummat Islam. Secara jujurnya, aku sudah melangkau umur 20 tahun ini, jika mengikut kalendar Islam kerana aku lahir pada 10 Ramdhan 1411h.

Alhamdulillah. Aku masih hidup.

Direnung kembali, kisah hidup sepanjang 1 tahun ini terlalu banyak yang berlakunya. Namun perlukah dicerita?

Sedikit mungkin.

Setahun ini aku mengenal erti hidup. setahun ini aku mengenal erti buku. setahun ini aku mengenal erti diri. dan setahun aku mengenal erti ukhuwah.

Setahun yang lalu, aku ingat lagi, buku karangan Dina Zaman; I Am Muslim yang ditaja orientalis itu tak pernah aku habiskan, sedangkan itu buku Inggeris pertama aku beli. setahun namun satu buku pun tak pernah aku habiskan. dan dalam setahun itu juga, aku mula belajar membaikpulih kelemahan diri, dibantu insan-insan yang banyak berjasa dalam hidup aku; Abg Hanis, Abg Wan, Abg Hanif, Abg Faisal, Abg Aziz, Abg Shah, Kak Mariati, Kak Dyll, Kak Naheed, Kak Lina Mursyidah, Kak Afiqah dan ramai lagi. Dan, kini aku mua mengenal erti faham, adab, epistimologi, falsafah, ilmu, dan aku mula menyentuh buku-buku 40 tahun ke atas; Syed Naquib dan bermacam-macam lagi. Semua dalam 1 tahun.

Dan lalu dari seorang yang gemar terkinja-kinja menari mengikut lagak budak-budak shuffle, (dulu obses dengan cerita Step Up) hinggalah kepada pemain DOTA sejati, mula terlibat dengan jamaah. Ada yang percaya dan sudi memahami aku dari sudut terbawah hati. Terima kasih. dan sedikit demi sedikit, aku mula meninggalkan dunia konservatif dan penuh dengan profaniti karut yang suatu masa dulu penghuninya adalah aku.

dan kini, aku mengharungi liku-liku hidup dengan penuh rasa yakin. Yakin kerana tahu dunia ini bukan tempat orang betul, tetapi tempat orang silap. Dan aku syukur, aku dilahirkan dalam Islam. :)


Wallahua'lam.
p.s: dunia bukan laman aku lagi, sayang semua.

Wednesday, December 16, 2009

Authority of the Idea

Bismillahirrahmanirrahim.

Persoalan mengenai idea atau apa yang sering kita katakan ideologi menjadi satu persoalan hangat masakini. Setiap orang, kelihatannya seolah-olah sudah menyalahertikan makna 'kebebasan bersuara', juga makna 'pemimpin'.

Demokrasi, atau apa yang dikatakan sebagai satu kebebasan membuat pilihan atau bersuara, telah melahirkan ramai pemikir aliran baru serta pengkritik-pengkritik sosial yang kritikal dan kritis, sekaligus membentuk satu budaya kritik yang membina dan terbuka.

Namun, jika dilihat kembali, SEMUA orang ingin mengkritik.

Justeru, melihatkan kepada kebejatan adab manusia pada masakini untuk menyantuni dunia kritik, lahir rasa kecewa dalam diri. Apa yang dapat dilihat, manusia hari ini lebih gemar mengguna dalil aqliyyah yang hanya bergantung pada akal intelektual semata, dan lebih parah lagi, tidak berilmu. Penulisan ini bukan menafikan autoriti intelektual sebagai satu sumber hujah, tetapi melihatkan kepada manusia yang gemar bercakap atas dasar kefahaman yang tidak mendalam, serta hanya berlegar di kulit, lantas membawa persepsi buruk, serta penyelewengan dalam faham ilmu tentang sesuatu.

Juga, dilihat, tidak kurang yang berhujah dengan dalil naqliyyah semata, hatta berdepan dengan golongan yang tidak berpegangdasar pada dalil naqliyy. Dilihat pada biasa mungkin kelihatannya kita menang, namun sebenarnya, tidak. pihak lain sekadar mencemuh atau mengherdik daya intelektual yang rendah, kerana kelemahan kita yang tidak mampu mengolah serta memahami aplikasi dalil naqliyyah kedalam dimensi keintelektualan.

Mawlana Jalalud-Din Rumi ada mengatakan di dalam puisinya; bukan Kamu Yang Memanah

**
Jika kamu seekor gajah kamu akan bermimpi India
seekor keldai tidak akan bermimpi India walaupun ia tidur seribu tahun
**

Puisi Mawlana di sini melihatkan dua daya pemikir yang berkongsi satu aspek insaniyy yang sama; Berfikir. namun, tidaklah juga kedua-duanya mampu untuk berfikir dari alur yang sama, lantas dari kekangan beberapa aspek.

kembali kepada perihal demokrasi, secara tidak langsung, telah berlaku penyelewengan kefahaman terhadap sesuatu, kerana rasa hubris serta hegemoni dan apologetik yang tinggi. Hari ini semua orang ingin betul.

lalu, lahirnya golongan-golongan seperti Islam Liberal, Islam sekular dan sebagainya.

jangan disalahkan sistem, kerana sistem pasti ada cela. tetapi renung kembali kepada para pelaksana sistem. apakah mereka benar-benar meyantuni fitrah demokrasi berdasarkan cara Islamik? Di mana sifat melontarkan pandangan dalam keadaan tahu, dan bukan dibuat atas dasar penaakulan intelek dan juga dimangkin emosi serta semangat melampau-lampau, tanpa benar-benar memahami konteks permasalahan sesuatu perkara dan mengenal pasti permasalahan utama?

PEMIMPIN

hari ini kita lihat pemimpin negara membawa satu gagasan besar untuk menyatupadukan penduduk berbilang bangsa di negara kita dengan satu gagasan besar bernama 1 Malaysia. satu gagasan yang pada saya sebenarnya sama sepertimana gagasan perdana menteri yang terdahulu (melainkan Pak Lah), dan diolah dari segi nama serta ditambah beberapa aspek kepentingan ke dalam gagasan tersebut.

begitu juga dengan pemimpin-pemimpin parti politik yang lain. PAS dengan agenda tersendirinya. dan isu terakhir PAS yang sempat saya baca (setelah sekian lama meninggalkan suratkhabar) adalah isu Talak 3 berkaitan Bai'ah.

namun, bukan dari aspek gagasan atau teno yang ingin saya persoalkan.

sekecil-kecil pemimpin, lihatlah diri. Diri kita yang wujud seumpama kerajaan (sebagaimana yang dikatakan Imam al-Ghazali) perlu dididik dengan betul, dan disalurkan darah yang suci ke hati agar hati itu bertahan lama. namun, pada hari ini, kita lebih gemar melihat aspek yang lebih besar sebelum menyantuni aspek yag kecil.

belum selesai hal individu, sudah bising berbicara tentang ummat. bagaimana mahu mentadbir ummat jika hati cela? bagaimana mahu memimpin ummat jika diri tidak berintegriti dan tidak beradab?

seorang pemimpin seharusnya menyantuni orang-orang di bawahannya. seorang pemimpin, seharusnya mempunyai semangat keRAKYATAN yang tinggi. seharusnya, teguran dari yang di bawah diterima dengan baik, dan disantuni. bukan ditutup suara orang di bawah, khususnya kepada para pemimpin Parti-parti Politik totok, serta amnya kepada pemimpin-pemimpin organsisi atau jamaah gerakan Islam hata kepada sekecil-kecil organisasi.

orang di bawah, harus bersantun untuk menegur pemimpin di atas.
dan orang di atas, harus bersantun untuk menerima teguran pihak di bawah.

konsep akal (idea) diangkat sebagai salah satu elemen penting. sebagai contoh, di dalam al-Quran, seringkala ditekankan di hujung ayat seperti "Afala Ta'qilun", "La'allakum Tatafakkaruun", dll.

Hegel sendiri mengangkat konsep akal, dengan menukarkan huruf i kepada perkataan idea menjadi Idea. Plato juga di zaman pemerintahannya menjadikan idea sebagai satu tingkat tertinggi sumber Agama.

melihatkan kepada idea, harus benar dan dan bersifat menerangi. idea harus didalangi ilmu. idea harus setia pada kebenaran.

dan demi mencapai sebuah idea yang benar-benar BENAR, kita harus kembali merenung.

Renungkanlah.



wallahua'lam.
p.s: rasa artikel ini kurang rencah.

Bagi Aku Itu Keluarga

Bismillahirrahmanirrahim.

Keluarga itu besar pengertiannya. Keluarga tidak terhad kepada perhubungan sedarah mahupun persaudaraan, tetapi lebih dari itu. Barangkali ramai yang kini mengabaikan definisi dan makna keluarga, lalu membiarkan nilai-nilai dan sifat-sifat mulia yang lahir dari sisi positif kekeluargaan itu berlalu pergi tanpa dimanfaati.

Keluarga, merupakan orang yang paling dicintai. Pangkatnya tinggi dari kekasih, mulia dari sesiapa insan yang berikat dengan kita. Dan bagi aku, keluarga itu ialah orang yang aku sayang, dan lebih dari segalanya.

Keluarga itu, harusnya orang yang mendapat buah dari pokok kita. Orang pertama yang harus merasa manis, merekalah. Orang pertama merasa pahit, merekalah juga. Bahagia dan duka itu pasti terasa bersama.

Segala kebaikan, pasti diinginkan untuk ahli keluarga. Jika dia berjauhan, harapnya selamat dan dilindungi selalu. Jika dia menempuh dugaan, harapnya bahagia selalu. Jika bertemu jodoh, harapnya yang menjaganya dengan baik, mengurus aturan hidupnya dan mampu membahagiakannya, dan jika dia berduka, harapnya kembali bahagia.

Dan yang pasti, bila ada antara ahli yang berduka, dampak pada mata ahli yang lain. Terkadang penat dikejar kerja, lelah mengejar masa, tercungap lari dari bayang, mengah mengejar matahari, buat kita terlupa untuk menyantuni ahli yang satu itu. Bukan tidak teringat, sangat teringat, cuma benar perancangan manusia itu tidak teratur secantik perencanaan Rabb-nya.

Cuma, siapa insan berbanding Tuhan. Hendak mengharap punya daya-penyembuh dan mencipta-bahagia, jangan diimpi. Takkan dimiliki sehingga akhir hayat. Yang terdaya, hanyalah melakukan perkara untuk membahagiakan dia untuk seketika, atau mengurangkan bebannya walau untuk sesaat. Cukuplah biar dia lali dari masalahnya dan senyum seketika, cukup. Tahu, masalahnya tidak selesai, tapi itu yang terdaya.

Dan biarlah hanya dengan doa, yang menjadi sokongan spiritualis dan biar ia jadi hanya urusan yang unik milik kita dan Rabb saja, tanpa perlu pengetahuan pihak ketiga. Kerna yakin manusia harus ada, sehebat mana citra dan kekuatan, insan akhirnya akan pergi kepada Rabb juga.

Dan semahal-mahal harta dunia, adalah senyuman yang benar-benar bahagia. Dan senyuman itu jika perlu dipilih antaranya dengan harta, aku pilih senyuman pasti.

Aku menulis bukan kerana ingin menunjuk mengambil berat, atau ingin memenangi hati, cuma pernyataan seorang insan yang hatinya antara takut dan harap, takut akan kehilangan, dan harap biar ini jadi peringatan agar dia kekal berdoa, dan percaya kebahagiaan di tangan Allah S.W.T, bukan tangan manusia.

Dan Ya Allah, aku rela menjual maruah dan nyawa demi sebuah senyuman ahli keluarga yang tulus dan bahagia.

Wallahua’lam.

Friday, December 11, 2009

Cela Insan Sempurna

Bismillahirrahmanirrahim.

Disangkakan moden itu, bermakna tiada lagi kekolotan mahupun kemunduran. Tapi silap. Masih wujud kemunduran, masih wujud lagi keterbelakangan minda. Pendangkalan makna serta rupa sifat dan hakikat sedikit sebanyak menyakitkan hati kecil ini.

Kita mengatakan bahawa Masjid itu tempat yang mulia. Namun kita mencemarnya. Kenapa masih wujud sikap serta sifat diskriminasi terhadap orang lain yang fahamnya berbeza dengan kita? Runtuh nilai-nilai kemuliaan yang seharusnya wujud dalam tempat mulia itu.

Kebanyakan kita pada hari ini gemar mengambil jalan mudah, menghukum serta meletakkan satu konotasi atau 'makna' atau trademark pada seseorang dengan begitu mudah tanpa berusaha untuk mengerti ataupun mendekati golongan-golongan yang kita benci.

Saya pernah letakkan di status Facebook; Kenapa timbul fitnah? kerana ada cela pada hati orang yang baik.

Hati orang yang baik (kononnya), apabila ada sedikit cela, akan menimbulkan kemunkaran. Orang yang seharusnya menjadi penyeru ke arah kebaikan, menyebarseru dengan titik hitam di hati, lantas kata-kata dan amalnya begitu banyak cacatnya, dari segi makna dan hikmah. buruk memburukkan, mengutuk serta menghina, itu dihalalkan bilamana dakwah itu di tangan orang yang baik, tapi hatinya cela.

Mengapa tidak pernah cuba untuk mengenal bersangka baik? mengapa tidak pernah cuba difahami dan diselusuri fitrah dan latarbelakang manusia? bukankah terlalu mudah? bermula dengan diri sendiri sahaja!

Kita seringkali membenci orang tertentu, mungkin kerana sikap pemalasnya, penipunya, jahatnya dan sebagainya. Namun pernah kita fikir, apa kita tidak wujud cela dalam diri? apa iman kita sempurna seribu kali ganda?

kenapa tidak dibenci sifat?

yang harus dibenci itu kelakuan buruknya, perbuatan jahatnya, fikiran kotornya, bukan orang yang cela itu (kononnya). benci terhadap sifat buruk itu, tapi sayang kepada insan atau saudara kita. bukan benci insan, tetapi sayang sifat. begitu ramai sekali tukang seru pada hari ini menyalahertikan kebaikan. dilihatnya tidak berkopiah, tidak bertudung labuh, lalu diputuskan niat untuk menjalin silaturrahim, khuatir nanti mungkin berbau besi. sampai begitu sekalikah penafsiran dan betapa ceteknya renungan kita terhadap hikmah Kalamullah serta Hadith Nabi?

baru-baru ini, timbul kisah seorang sahabat sekampus menceritakan mengenai Rasulullah mendoakan musuh, agar dapat dijustifikasikan dengan tindakan mendoakan orang yang tidak sefikrah dan dilihat menggugat Islam. lalu timbul dalam hati insan cela saya, kenapa perlu dilihatkan perbuatan Rasulullah yang itu, sedangkan qudwah dan teladan yang ditunjukkan Nabi tidak dicontohi atau diambil kira?

Rasulullah S.A.W bersabda; Tidak sempurna iman kamu sehingga mana kamu mencintai saudara kamu seperti mana kamu mencintai diri sendiri.
Sebuah hadith ringkas, dan dihafal oleh sekalian insan, terutama mereka yang berintimae dengan gerakan Islam. seringkali dilafazkan, tetapi begitu mudah diremehkan hikmahnya.

Dalam al-Quran, Allah S.W.T berfirman dalam surah At-Tin; Laqad Khalaqnal insana fii ahsani taqweem.
Manusia itu diciptakan sempurna, dalam pengertian yang lebih luas lagi, sempurna bukan pada luaran, tetapi dalaman. Jika sempurna itu ditakrifkan dari aspek fizikal, pasti hari ini insan-insan hodoh itu tidak layak digelar manusia.

Setiap insan menginginkan ke arah kebaikan, maka bersantunlah. Jika hari ini dia tidak berubah, maka teruskan usaha. Hayat manusia dilihat pada akhirnya, bukanlah di awal mahupun pertengahan. Tidak mustahil seorang insan yang rajin beribadat akan menjadi jahat di hayatnya, dan sebaliknya juga.

Sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Berkuasa.

beginikah hati kita?

Wallahua'lam.
p.s: sudah-sudahlah. terasa macam ada apocryphal dalam jiwa.

Tuesday, December 8, 2009

Dia memberi di kala kita tidak meminta.

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, satu paper sudah lepas. jadi sekarang cuma tinggal satu sahaja lagi paper sebelum cuti bermula. InsyaAllah cuti kali ini, aku akan bertapak di bumi Nilai, dan memperbanyakkan pembacaan. Serius, pembacaan hanya rancak di Nilai. jika sudah pulang ke rumah atau ke mana-mana, pasti sukar untuk terus konsisten.

Berbalik kepada tujuan asal, sebenarnya ingin berkongsi sebuah cerita yang berlaku kurang dari 24 jam yang lalu; peperiksaan Adab Nusus.

subjek Adab Nusus sebenarnya merupakan subjek kesukaan aku di antara kesemua subjek dalam program BAR. almaklumlah aku begitu obses dengan sastera (sampaikan ada blog khas untuk sastera!). Tapi itu tidaklah bermakna bahawa aku mampu memahami dan mendalami Adab tanpa berhajat kepada pembacaan dan penealahan.

Hari ini, aku sangat bersyukur. Ya, bersyukur hinggakan aku rasa perlu untuk berkongsi.

Sepanjang 2 minggu kebelakangan ini, keadaan kesihatan semakin kurang baik. pertama mungkin sebab aku takut ambil ubat, dan kedua, cuaca. hari-hari ke kelas pun menahan sakit, agak payah juga. justeru, aku perlu pulun untuk mid-term, memandangkan seminggu aku cuti sakit! baru bercadang untuk study di hujung minggu, pada hari Sabtu terpaksa pula menghadiri Mesyuarat Kebangsaan Pelajar Islam di Kolej Dar al-Hikmah. Bermula dari pukul 10pg, sehinggalah 8mlm (tiba di Nilai), di samping berlaku insiden yang agak menyedihkan hati. maaf. dan adat diri ini jika penat, memang akan kurang bermaya secara drastik.

hari ahad di atas katil, terlantar kepeningan sambil menguis-nguis buku-buku di meja study. Alhamdulillah, pada malamnya kembali bertenaga. namun, tanggungjawab sebagai ajk Hisbah Mahallah perlu diselesaikan di LTD bersama Ustaz Sharif dan Ibrahim. dan sekali lagi, aku tidak menyentuh buku.

sehinggalah pada hari ini, aku tidak berkesempatan menyelak muka surat lain dari nota-nota Adab, melainkan menghafal syair kedua alunan Nabighah. dan sekali lagi, aku terpaksa menguruskan perihal Seminar Syed Naquib di kedai printing sehingga pukul 7 malam. dan selepas menunaikan solat maghrib, dengan penuh sayu aku membuka nota, dengan harapan apa yang ada itulah yang akan masuk dalam peperiksaan pada pukul 8 malam ini. dengan longlai, melangkah masuk ke seminar hall di blok c.

tahu, apa yang aku rasa ketika melihat soalan ke 3 di muka surat pertama? Alhamdulillah. hanya Allah SWT sahaja yang benar-benar tahu akan perasaan dalam hati ini.

setiap soalan yang masuk, adalah apa yang aku telaah selepas maghrib tadi. dan lalu aku bersyukur, kerana ini satu rahmat. dan benar kata-kata ahli tasawwuf; Allah memberi di kala kita tidak meminta, tanda amalan kita tidak punya nilai di sisi-Nya. Subhanallah.

setiap insan punya perhubungan yang unik dengan Rabb mereka.
dan ya, Allah SWT Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Jadilah hamba yang selalu berdoa ya!

Wallahua'lam.
p.s: menunggu Meanwhile, EP dari Kak Waniardy :)

Thursday, December 3, 2009

Cinta Usrawi

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, sambutan hari raya Aidiladha pada tahun ini agak meriah di kedua-dua belah pihak Ibu dan Ayah. Seperti biasa, kami akan beraya terlebih dahulu ke Kampung Tasek, Ipoh; kampung Ibu, dan kemudian baru pulang ke kampung Ayah di Teluk Intan, Perak.

Danish Afira! Anak kak Fara-Dua pupu paling comeyyy!


famili gue

Anak perempuan Wari dan Salmah

Cuma, tahun ini bezanya (sepertimana tahun-tahun yang lalu), Opah tiada. Maklong pula meninggalkan negara untuk pergi ke tanah suci. dan juga beberapa kehilangan yang lain.

Masih ingat lagi raut wajah Opah Salmah yang cengkung itu: yang sering terbaring di kerusi malas putihnya; yang sering terbaring di atas tilam kecil itu, dan di bawah bantalnya ada satu karung, karung duit untuk cucunya; aku.

Jika dulu ketika Opah masih hidup, aku dan Kaklong selalu diberinya duit, bukan untuk keropok, pasti untuk aiskrim, bukan untuk pensil, pasti untuk kertas lukisan. setiap kali pulang pasti ada sahaja yang diberinya. dan aku, masih terkategori dalam golongan insan bertuah.

Dan Opah di kala akhir hayatnya, mungkin menahan sakit, mungkin tidak, mungkin matinya aman, dan senyap. apalah erti sakaratulmaut dan mati pada seorang budak hingusan pada waktu itu. dan sesedar aku, keesokannya, aku tidak lagi melihat Opah terbaring mahupun duduk di kerusi malasnya.

dan aku pun tidak bertanya kemana Opah pergi. dan akhir-akhir ini aku rasa Opah begitu dekat dengan aku. rindu benar cucumu ini padamu Opah Salmah.

Opah Salmah, mana kamu...aku banyak cerita ingin diadu, banyak beban ingin dibaring atas riba kamu, banyak hasrat untuk bawa kamu, merata-merata asal kamu bahagia, betapa aku ingin khabarkan kini takhta aku sudah dirampas cucu-cucumu yang lain. mereka jauh lebih wangi dari aku. tapi mereka rugi, mereka tak rasa sentuhan kamu kan Opah? :)


Dan sekali lagi, aku sedar. aku selalu terlambat ya Opah.
aku selalu terlambat.


Wallahua'lam.

JUMLAH KEHADIRAN