Bismillahirrahmanirrahim.
Segala salah silap harapnya tegur dengan berhemah. Dan nyatakan identiti anda. Janganlah buat saya tertanya-tanya ya :)
Semenjak dari kecil, saya amat meminati filem hindustan. Antara filem yang menjadi kegilaan dahulu kala ialah Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Taal, Mann, Duplicate, Kal Ho Na Ho, Kabhie Kushie Kabhie Gham dan pelbagai lagi.
Filem terbaru yang saya tonton ialah My Name Is Khan. Melihatkan trailer-nya yang sangat menarik dan cantik (sinematografi, warna dsb) membuatkan saya ternanti-nanti tayangannya di Malaysia. Dan semestinya menanti lagi beberapa minggu atau bulan selepas itu kerana hajat di hati cuma satu; Download!
Secara jujur, My Name Is Khan merupakan antara karya hindustan yang saya tabik selepas Kabhie Kushie Kabhie Gham kerana penceritaan yang sangat menarik di samping penjelmaan emosi yang sangat baik dari para pelakonnya. Mengisahkan mengenai seorang Muslim India-Rizvan Khan, penghidap penyakit Sindrom Asperger yang berhijrah ke Amerika sebelum peristiwa 11 September. Rizvan sebelum peristiwa hitam itu telah berkahwin dengan seorang janda beranak satu, Mandira lakonan Kajol yang merupakan seorang pendandan rambut yang beragama Hindu.
Namun segala-galanya berubah apabila peristiwa 11 September. Sameer, anak Mandira yang juga merupakan anak tiri Khan telah diserang oleh senior-senior di sekolahnya kerana nama Khan di belakang namanya-satu identiti buat orang Islam India.
Mandira yang tidak dapat menerima kenyataan meletakkan kesalahan di bahu Rizvan kerana percaya, anaknya mati kerana nama keluarga Khan yang diletakkan di dalam namanya. Meletakkan syarat bahawa Rizvan perlu berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat dan memberitahu beliau mesej "My Name Is Khan and I'm Not A Terrorist", Mandira yang marah tidak lagi mengendahkan Rizvan. Bermula dari itu, Rizvan merentas negara demi menunaikan syarat kepada isterinya yang tercinta.
Selebihnya tontonlah sendiri.
Meskipun saya amat meminati filem ini sepertimana saya meminati Sepet dan Gubra yang kontroversial itu (saya suka kerana penceritaan yang menarik, tetapi tidak pada beberapa isinya) namun cerita ini tetap mempunyai sisi lain yang bagi saya agak negatif. Jika kita sibuk dengan setiap perincian simbol, makna dan nyahkod yang wujud di dalam filem Avatar, Sherlock Holmes dan sebagainya, maka My Name Is Khan perlu diberi perhatian dari segi teori dan falsafahnya.
Pluralisme agama yang wujud sebagai mesej utama (dalam sedar tak sedar) di dalam My Name Is Khan jelas kelihatan apabila Rizvan yang beragama Islam secara tidak langsung berkahwin dengan Mandira yang beragama Hindu. Semestinya perkahwinan tersebut pada awalnya dihalang oleh Zakir Khan, adik Rizvan namun penonton terlupa dan leka dengan kenaifan dan kejujuran yang wujud pada watak seorang lelaki bersindrom Asperger.
Selain itu, watak Rizvan yang naif itu kelihatannya seperti terlepas atau exempted dari batas-batas agama. Beberapa babak di dalam Gereja yang mana saya kira agak mengelirukan dari segi pernyataan klimaks atau makna di dalam sesebuah plot(sebagai contoh, tatkala harapan kelihatan masih ada dan cerah, lambang salib difokuskan seolah-olah tuhan berada pada salib) yang seharusnya kita beri perhatian.
Persoalan berfikir di jalur yang betul selalu menjadi isu dan masalah bagi kita. Lihat, seorang wanita marah kerana suaminya meminati wanita lain, namun dalam masa yang sama, bila si suami memuji artis wanita yang dalam masa yang sama merupakan artis pujaan sang isteri, lihat betapa kedua-duanya 'berkongsi minat yang sama'. Juga lihat seorang budak yang mencuri sewaktu ketiadaan orang, namun berlagak baik di kehadiran orang.
Dan pelik sungguh, sewaktu filem Avatar ditayangkan, betapa banyak yang kecoh mengenai simbol Illuminati, Freemason dan sebagainya hanya kerana pembuat filem Avatar merupakan seorang rakyat Amerika. Namun, tatkala filem begini dihasilkan dari kalangan bukan bangsa sedemikian, maka kita berhenti berfikir dan menikmati setiap hidangan seolah-olah filem ini "illuminati-free"!
Nampak seperti mudah, tetapi tidak bukan? Maka seperti biasa, sepertimana yang sering dimarahi oleh guru Karangan saya mengenai bahagian penutup yang kabur dan tidak menarik, saya nyatakan; patutlah wujud prinsip "saying one thing, doing another".
Wallahua'lam.
p.s: sekadar pandangan.

0 komentar:
Post a Comment