Monday, April 12, 2010

Siri Usrah GPTD 2 : Yakinkah Kita Dengan Allah S.W.T?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk menunaikan janji, berkongsi ilmu dan pengalaman yang tidak seberapa ini bersama para pembaca blog al-faqir ini.

Mengimbau kembali berusrah di Anjung Rahmat bersama-sama senior-senior GPTD sedikit sebanyak membantu diri meneruskan kehidupan. Kadangkala, diri ini terlalu tinggi melangit fikirnya, sehinggakan kadangkala terlupa untuk menjejak kaki di bumi.

Sebuah kisah yang diceritakan oleh Abang Suhail (pengalaman Abang Suhail yang saya jadikan cerita);

Seorang anak muda bersembang bersama seorang pakcik tua perihal kehambaan dan keimanan kepada Allah S.W.T. Secara tiba-tiba, si pakcik menguji si anak muda;

"Kamu yakin dengan Allah S.W.T?" soal si pakcik.

"Sudah tentulah percaya, kenapa pakcik?"

"Sanggup kamu berikan pakcik RM500 sekarang?" pinta si pakcik.

Termangu-mangu, si anak muda itu berfikir. Duit di dalam dompetnya adalah untuk perbelanjaan hariannya. Dia juga perlukan duit untuk membeli barangan-barangan untuk program dan sebagainya. Belum sempat dia menjawab, si pakcik kembali bersuara;

"Haa itu tandanya kamu kurang yakin dan percaya pada Allah S.W.T!" kata pakcik itu. Si anak muda tadi tertanya-tanya.

"Eh kenapa pula?"

"Begini anak muda, bukankah sudah termaktub bahawa sebenarnya Allah S.W.T yang menentukan segala urusan kehidupan kita. Rezeki, jodoh, maut dan sebagainya sudah Allah S.W.T tentukan semenjak dahulu lagi. Jadi, jika pada hari ini kamu memberikan pakcik RM500, adakah kamu ingat kamu akan miskin dan susah esok lusa?" Si anak muda termenung sendiri.

"Siapa tahu, esok, lusa dan sebagainya akan memperoleh rezeki selepas kamu beri pada pakcik RM500? Percayakah kamu?"

***

Ini merupakan satu persoalan asas yang seharusnya kita fikirkan selalu, memandangkan kita pada hari ini seringkali tersasul dari jalan aqidah yang betul.

Mengenai qadha' dan qadar Allah S.W.T, tidaklah bermakna segala usaha kita adalah sia-sia memandangkan segalanya sudah ditetapkan Allah S.W.T semenjak azali lagi. Allah S.W.T sendiri berfirman (mafhumnya) bahawa nasib sesebuah kaum itu tidak akan berubah melainkan kita mengubahnya. Allah S.W.T mengambil kira setiap usaha yang kita lakukan dan melihat sejauh mana kita benar-benar bergantung harap pada-Nya. Namun, harus ingat, ada juga ketetapan Allah S.W.T yang tidak mampu kita ubah.

Kata orang, biar fikir dan cita tinggi melangit, asal hati tetap rendah di bumi.

Wallahua'lam.

0 komentar:

JUMLAH KEHADIRAN