Bismillahirrahmanirrahim.
Arakian maka hendaknya hobi saya ini menonton wayang, maka seorang diri-lah di kerusi paling hujung di dinding kanan J19 panggung 4 di Jaya Jusco Ipoh 2 hari lalu. Berjudulkan Ip-Man 2, itulah cerita yang kita cari.
Berbanding Iron Man 2, Date Night dan Ip Man 2, sudah tentu saya memilih Ip Man 2 sebagai filem terbaik dan diikuti Date Night. Mengisahkan Ip Man yang cuba untuk membuka pusat kung fu aliran Wing Chun di Hong Kong, dia menghadapi masalah berhadapan dengan birokrasi dan juga kumpulan-kumpulan Kung Fu aliran lain. Tema Ip Man 2 adalah hampir sama seperti Ip Man (filem pertama) iaitu semangat bangsa.
Keseorangan di kerusi paling hujung menepuk tangan tatkala Ip Man berjaya mengalahkan The Twister dan sewaktu babak-babak perlawanan yang lain, saya dapat melihat filem ini merupakan satu fenomena dalam kalangan bangsa Cina. Meskipun saya antara 5 atau 6 orang Melayu yang berada di dalam panggung, namun saya cuba sedaya upaya untuk mempraktikkan kemahiran-semenjak-lahir iaitu menjiwai watak orang cina yang lain. (Wah, hebat bukan kelebihan ini?) Mereka kelihatan bersemangat, dan sejujurnya saya katakan, kebanyakan yang menonton wayang ketika itu adalah warga emas. Dan salah seorangnya mengalirkan air mata mengenang perjuangan bangsa Cina yang dipaparkan di dalam Ip Man 2.
KEKECEWAAN BANGSA
Lebih kurang sepurnama tolak 20 hari yang lalu, saya berkesempatan makan bersama-sama sahabat lama, yang kini sedang dalam proses menjadi wartawan ekonomi bagi Astro Awani, juga dikatakan merupakan salah seorang tok dalang di dalam peristiwa penggulingan Maharani Pyumporeng 50 tahun dahulu, tapi jika diikutkan fakta, dia baru berusia 20-an, jadi ura-ura mengatakan dia adalah tok dalang jelas kelihatan konspirasi penuh teori (atau teori penuh konspirasi) bernama Mr. Afiq. Jika dibaca artikel dia mengenai Membaca Ekonomi Negara, Bukan Menujum Masa Hadapan, pasti anda akan terpana. Almaklum, buku yang dia baca bukanlah Gempak atau 10 Ways To Cry, tetapi Fiqh Muamalat, Ekonomi Islam dan sebagainya yang mungkin kita pandang tapi tergeliat mata membaca tajuknya.
Berikut merupakan butir-butir perbualan kami:
Mr. Afiq: Aku nak pergi tolong kempen Zaid sok. kena gerak awal pagi, aduh. (topik bola bertukar kepada politik tatkala TV memaparkan kisah Pilihanraya Hulu Selangor yang bakal berlangsung)
Saya: Haha. Aku no komen. Zaid ke sape ke, aku tak pilih side. Politik Malaysia ni kotor skit.
Mr. Afiq: Hahaha. Aku rasa Syed, Malaysia ni takkan maju selagi negara kita tak jadi republik. Aku tau maybe pandangan aku ni ramai yang sangkal, tapi ko tengok la orang Melayu sendiri, cakap soal persaingan dengan bangsa lain, tapi tengok la dekat pasar kat rumah aku, Cina pukul 5 pagi dah ada, melayu pukul 7 setengah atau 8 baru ada. Pastu bising ekonomi tak maju!
Saya: Eh, maksudnya kau nak kata Malaysia better tanpa sultan?
Mr. Afiq: Bagi orang Melayu sedar diri sikit. Dah selalu senang sangat. Tak boleh nak bagi kesenangan sangat pada orang Melayu. Nanti jadi lagi malas.
Saya: Weh jangan ar macam tu, aku dah la keluarga diraja..hahaha!
Mr. Afiq: Hahaha! sori weh!
Bila difikirkan semula, memang benar kata-kata saudara saya di atas.
Pada hari ini, konsep bangsa dianggap sebagai satu penghalang kepada kemajuan, juga penghalang bagi sebuah negara Islam yang berkomunitikan ummah. Konsep ummah atau internationalization merupakan satu konsep yang menggabungkan semua bangsa dan manusia tanpa mengira bangsa dan warna kulit di bawah ajaran Islam.
Konsep bangsa secara asalnya merupakan satu kelahiran dari idea dan gagasan sekularisme yang hadir bersama semangat Patriotisme. Justeru, konsep yang sudah tersedia dipandang negatif semenjak awalan ini seolahnya menjinjing karat-karat sekularisme sehingga kepada hari ini. Justeru, kebanyakan mereka yang berpegang teguh kepada jalan khilafah serta idea-idea tertentu, menolak konsep bangsa.
Bangsa, bagi saya merupakan satu elemen penting di dalam sebuah negara. Identiti sebuah bangsa turut merangkumi identiti agama yang dianutnya. Sebagai contoh di Malaysia, sinonimnya Melayu dengan Islam, Cina dengan Buddha, India dengan Hindu, dan juga sekelompok kecil yang menyalahi norma.
Di dalam bangsa, terdapatnya beberapa elemen penting seperti bahasa, adat dan juga sejarah. Kepentingan bahasa sebagai contoh dapat dilihat apabila isu kalimah Allah menjadi rebutan. Jika konsep bangsa diabaikan demi mencapai konsep ummah, bagi saya itu merupakan satu tindakan tergesa-gesa dan tidak berperancangan rapi sepertimana yang dimahukan Islam.
Tidak bercadang untuk mengurai lebih lanjut, saya cadangkan anda menonton Ip Man 1 dan Ip Man 2 supaya kita tahu betapa pentingnya bangsa, warisan dan nama Melayu. Dan tolong jangan katakan, jika kita memperjuangkan Melayu bererti syirik dan tersimpang dari jalan Islam.
Ingat, suatu masa dahulu Rasulullah diturunkan dalam kalangan Arab Quraisy yang keras kepala, dan assabiyyah, bukan bangsa Israel seperti para Nabi sebelumnya.
Haish. Dari Ip Man, kepada konsep bangsa. Terlupa hendak promosi filem sendiri.
Dalam Ip Man 3, saya berlakon. Kali ini saya sebagai anak murid Ip Man kembali membantu Ip Man mengajar di pusat Kung Fu-nya. Nantikan lagi 100 tahun!
Jika Cina ada Ip Man sebagai pembakar semangat, saya mengharap sesuatu sebagai pembakar semangat orang Melayu oleh pembuat filem negara.
Wallahua'lam.
p.s: salam Aufklarung.

2 komentar:
HAHAHHA.ini semua auta!!
tidak benar sama sekali.
i mean, gmbar itu la yg salah dan tlh diedit.hehe
saya setuju...
melayu skarang mmg malas...
n plg byk kesalahan jenayah
Post a Comment