Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah. Usai menghantar Emak, Abah dan Kak Da di INTIM pagi tadi. Mereka dijangka tiba di KLIA sekitar 9 pagi. Dan sekali lagi, Alhamdulillah, mereka dipanggil untuk melawat rumah Allah S.W.T.
Aku mengaku, aku bukan cengeng orangnya bila di hadapan orang ramai, namun tidak pula bererti aku ini orangnya hati batu. Tidak. Cuma, kadangkala aku sedar, untuk aku bereaksi melebihi orang yang selayaknya, siapalah diri. Khuatir nanti dikata mencari kasih dalam sendu pula.
Dalam entri yang sebelumnya, aku nyatakan bahawa Emak dan Abah sahaja yang akan membuat umrah, terlupa akan Kak Da. Pagi tadi, sewaktu bersalaman dengan mereka bertiga, aku rasa sebak apabila memeluk badan kecil Kak Da. Lebih sebak bila Kak Da mencium pipi. Aku ingat lagi, Kak Da dahulunya akan selalu memeluk aku kuat-kuat sewaktu malam kerana aku ini penakut orangnya. Aku teringat, hati aku berbunga-bunga bila tiba cuti sekolah, Kak Da akan datang bermalam di rumah. Tapi tadi, badan halus Kak Da itu aku rasa semacam, seakan-akan itu adalah badan yang harus aku lindung pula.
Ehem ehem. Nanti tunang Kak Da marah! Haha. Sebelum bertolak keluar dari rumah pada pukul 4.30 pagi tadi, aku laungkan azan di hadapan rumah. Alhamdulillah, selalunya aku menghadapi masalah suara di waktu pagi, tetapi berkat umrah barangkali, suara aku seperti biasa.
Untuk Emak, Abah dan Kak Da, aku doakan yang terbaik. Semoga memperoleh segala rahmat-Nya sepanjang di bumi sahrawi.
Orang seperti kita ini, tangisnya dalam tulisan, tawanya juga dalam tulisan.
Wallahua'lam.
0 komentar:
Post a Comment