Bismillahirrahmanirrahim.
Aku sedang keliru, antara hikmah dan paksaan, juga didikan dan arahan. Barangkali bagi sesetengah orang, ah, perlu difikirkan apa soal tersirat mahupun tidak ini. Aduhai.
Siapa kata hikmah itu tidak penting? Dalam hikmah itu sebenarnya terkandung mauidzah yang halus, mauidzah yang bukan sengaja ditunjuk, atau ditekankan tetapi mauidzah sebenar.
Mutakhir aku selalu memerhati. Memerhati bukan sekadar memerhati kosong, tetapi memerhati dengan pen dan kertas catatan di tangan serta sambil sekali sekala memperbetulkan kacamata. Sesekali kacamata ditanggalkan lalu dibersih menggunakan bibir lengan baju. Sungguh bergaya bukan? Nampak sangat penuh penipuan.
Aku memerhati peranan ibu bapa dalam melentur rebung buluh. Kadangkala, ibu bapa masakini terlalu ingin darjah lenturan rebung melebihi daya yang mereka kenakan ke atasnya. Ingin anak menghormati mereka, cakapnya kasar sahaja, ayat-ayat carutan profaniti semuanya tidak ditapis, bahkan itu yang dizikirkan kepada anak-anak. Ingin anak kenal Tuhan, diajarnya solat demi menjaga maruah keluarga, dan nasihat yang selalu menjadi galang ganti kepada kata "solat itu membawa kita dekat kepada Pencipta..." ialah "SOLAT! nanti apa pula kata orang, atuk kamu dahulu imam besar!" dan mereka sendiri juga jarang-jarang sekali solat. Hmm.
Ibu bapa, sebagai agen mauidzah yang penuh hikmah, harus sedar dan beringat, anak-anak yang mendapat terapan nilai dan caragaya ini akan melakukan perkara yang sama. Anak yang derhaka kerana sikap bapanya, menjadi seorang bapa, kemudian melantunkan semula citra bapanya (yang atau datuk) kepada si anak, lalu anaknya menjadi derhaka semula. Dan fenomena yang sama akan berulang-ulang hingga muncul satu kelompok sedar dari kalangan nan alpa.
Ibu bapa, rasanya perlu sentiasa mengalah kepada anak-anak, dan memaafkan kesilapan mereka. Mengungkit kesilapan hanya akan membantutkan potensi dan menambah tekanan kepada anak-anak. Jika anak-anak melakukan kesilapan yang besar, malu dan aib ditanggung keluarga itu pasti, tapi kemaafan dan semangat dari kedua ibu bapa yang membantu bangkit dari jatuh sebenarnya. Jika ibu bapa sendiri menekan, mengulang-ulang kesalahan; "hei kau punya pasal gatal hendak beristeri anak raja sekarang keluarga sudah malu kerana kau tidak kacak~".
Sedar atau tidak sedar, betapa banyak puji dan puja dari rakan dan saudara-mara, andai puji dari ibu bapa itu tiada, si anak tetap akan rasa kosong. Umpama mayat hidup barangkali. Percayalah, apa kata jika dicuba selepas pulang nanti (macam ada seminar berlangsung pula~) ungkapkan kata-kata lembut pada anak yang keras. Jangan lupa, dalam sebadan batu berotot sasa, juga jasad sekeras kayu, ada bahagian lembut bernama Hati.
Sekadar pandangan, untuk generasi ibu bapa masa nanti.
Wallahua'lam.

0 komentar:
Post a Comment